klik klik

Monday, August 1, 2011

ELEMEN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

1. Pendidikan suatu usaha beterusan

Pendidikan ialah proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penyerapan nilai murni supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia. Proses pendidikan ini merupakan proses secara berterusan sepanjang hayat. Maka pendidikan secara berterusan ini adalah bermula sejak pendidikan asas dalam peringkat awal kanak-kanak di rumah dan tadika, disambungkan di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam peringkat kanak-kanak dan remaja, dan diteruskan di peringkat selepas sekolah di tempat-tempat seperti institusi pendidikan tinggi, tempat bekerja dan komuniti atau dengan pembelajaran secara kendiri berbentuk ICT, secara online dan melalui media massa

2. Memperkembang potensi individu


Mengikut kajian individu memiliki pelbagai keupayaan, bakat dan potensi seperti intelek, jasmani , emosi, dan rohani sejak lahirnya. Kebanyakan potensi ini adalah terpendam dalam jiwa kendiri. Fungsi utama pendidikan ialah memperkembangkan dan meningkatkan potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat falsafah pendidikan kebangsaan , unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri daya berfikir seperti :

· Menguasai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

· Menguasai kemahiran untuk memperoleh, meningkat dan menyebarkan ilmu.

· Dapat berfikir secara kritis dan kreatif(KBKK) dan

· Dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri dan orang lain, termasuk kemajuan negara.

Perkembangan unsur jasmani memberi tumpuan kepada kesihatan tubuh badan individu, seperti memperkembangkan kepada tahap keupayaan seperti :

· Menjaga kesihatan tubuh badan diri

· Melakukan riadah dengan sempurna

· Menggunakan bakat dan kemahiran teknikal/manipulatif dengan cekap.

· Memanfaatkan tenaga fizikal secara berdikari dan untuk kepentingan masyarakat dan

· Meningkatkan daya pengeluaran, demi memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa yang sihat dan kuat, iaitu :

· Memperolehi perasaan tenaga dan tingkah laku yang terkawal

· Memilki perasaan kasih sayang

· Memiliki semangat kekitaran, muhibbah, kerjasama dan perpaduan dan

· Mempunyai kemahiran menilai dan menghargai keindahan dan kesenian

Perkembangan unsur rohani memberi tumpuan kepada sifat kejiwaan dan kebatinan, iaitu :

· Mempunyai perasaan menyedari dan mengingati adanya Pencipta

· Mempunyai perasaan menghargai dan mensyukuri pemberian pencipta

· Mempunyai perasaan menyedar dan menginsaf terhadap tanggungjawab

· Dapat memupuk dan membina disiplin kendiri dan

· Dapat membentuk akhlak yang mulia

3. Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu

Perkembangan potensi individu tidak lengkap dan sempurna jika dilakukan secara berasingan. Ia harus diperkembangkan secara menyeluruh dan bersepadu. Maka untuk membentuk insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia dengan sempurna, aktiviti kokurikulum harus juga diberi penekanan, disamping kurikulum akademik yang dilaksanakan dalam bilik darjah.

Potensi yang ada pada diri individu hendaklah dikembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang saling berkait di antara satu sama lain.

4. Insan yang seimbang dan harmonis

Insan yang seimbang dan harmonis merupakan insan yang berilmu pengetahuan bertenaga mahir, berakhlak mahir, mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram tubuh badan sihat dan cergas serta kematangan emosi dan sosial.

Insan yang seimbang dan harmonis merupakan potensinya, iaitu intelek, jasmani, emosi, sosial dan rohani telah diperkembang secara menyeluruh, bersepadu dan dalam tahap optimum

Insan yang seimbang dan harmonis adalah individu yang memiliki kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab diri, keluarga dan negara. Individu ini akan sentiasa berikhtiar dan berusaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi, dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang berguna, demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Matlamat memupuk insan yang seimbang dan harmonis boleh dicapai apabila semua potensi yang ada pada dirinya telah dikembangkan secara selaras, menyuruh dan harmonis. Seorang individu yang seimbang dan harmonis adalah manusia yang telah memiliki sahsiah yang bersepadu, menikmati keseimbangan dan kesejahteraan dalam jiwanya. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa merasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan fikiran yang tenang.

5. Kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan

Kepercayaan ini merupakan keyakinan bahawa manusia dan alam sekitar tidak terjadi secara tetapi ada Penciptanya, dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan. Oleh itu, manusia harus patuh kepada Tuhan dengan memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam usaha mentadbir dan memakmurkan alamnya.

Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan memberi tumpuan seperti berikut :

· Mengakui wujudnya Pencipta;

· Mengakui manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta;

· Mengetahui hukum dan fenomena alam adalah peraturan yang ditetapkan oleh Pencipta;

· Menyedari manusia dijadikan untuk memajukan alam;

· Menyedari manusia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbuatan diri sendiri;

· Melakukan kebaikan dan menghindari perbuatan kejahatan;

· Mengikuti dan mengamalkan ajaran agama; dan

· Meningkatkan serta mengukuhkan kepercayaan beragama.

6. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

Rakyat yang memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain.Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki cir-ciri seperti :

· Mencintai ilmu pengetahuan;

· Gemar membaca;

· Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan;

· Sentiasa berusaha meningkatkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan;

· Memanfaatkan ilmu untuk kebaikan diri dan orang lain; dan

· Berfikiran terbuka, luas dan mendalam.

7. Rakyat Malaysia yang berketrampilan

Rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran sentiasa rela memberi sumbangannya demi kemajuan negara. Mereka bukan sahaja mampu melaksanakan tugas dalam jangka masa yang singkat tetapi juga dengan cekap dan sempurna. Rakyat Malaysia yang berketrampilan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti :

· Berilmu pengetahuan dan berkelayakan yang sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan;

· Mempunyai kemahiran yang sesuai dalam pelaksanakan tugasnya; dan

· Dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna.

8. Rakyat Malaysia berakhlak mulia

Rakyat yang memiliki tingkah laku yang bersopan santun, berdisiplin dan bersepadu, dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia ialah rakyat yang memperoleh cirri-ciri seperti :

· Mengetahui yang mana nilai baik dan mana yang buruk;

· Menyedari kesan dan akibat daripada perbuatan baik dan buruk;

· Mempunyai keyakinan terhadap nilai murni;

· Dapat menghayati nilai kerohanian kemanusian serta kewarganegaraan; dan

· Mengamalkan kelakuan baik dan mengelakkan perbuatan buruk.

9. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab

Rakyat yang mempunyai tanggungjawab yang sempurna terhadap Tuhan, bangsa dan, negara, dan melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah.Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ialah rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti :

· Menyedari tugas dan tanggungjawab adalah amanah dan kewajian;

· Menyedari tugas dan tanggungjawab harus dilaksanakn dengan sempurna;

· Sentiasa berusaha meningkatkan daya pengeluaran;

· Sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara; dan

· Sentiasa berusaha memajukan diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

10. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri

Melalui perkembangan potensi individu secara menyeluruh, rakyat akan dapat memiliki jiwa yang tenteram untuk memahami keperluannya sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Rakyat Malaysia yang berupaya mencapai kesejahteran diri ialah rakyat yang memiliki keupayan seperti:

· Daya ketahanan diri yang kuat untuk menangani cabaran hidup dari semasa ke semasa;

· Berfikiran waras dengan jiwa tenang dan tubuh badan yang sihat; dan

· Memperoleh kemahiran untuk mewujudkan pertubuhan baik.

11. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan

Melalui latihan, rakyat boleh menggunakan tenaganya yang mahir, produktif dan inovatif untuk mempertingkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan negara. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara ialah rakyat yang memperolehi keupayaan seperti:

· Memupuk keharmonian keluarga;

· Memupuk semangat kerjasama, kekitaan, perpaduan, muhibbah, tolerensi dan hormat;

· Menguasai kemahiran sains dan teknologi untuk perkembangan dan kemajuan negara;

· Mengekalkan kestabilan negara;

· Mematuhi, mengekalkan dan mempertahankan Perlembagaan;

· Menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara; dan

Bersemangat patriotik dan cintakan negara

2 comments:

  1. airynur...akak ni tgh wat keje kt Library IPG.. makasih ye upload benda ni.. nnt roger kt sekolah.. ada yg aku nk cedok lagi..hehe....:)

    ReplyDelete

jom klik...=)