klik klik

Monday, August 1, 2011

PERANAN SEKOLAH DALAM MENJAYAKAN HASRAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Sekolah merupakan institusi penting untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan sahsiah terpuji. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

Sekolah berperanan dalam menyedia, menyelenggara dan mengurus prasarana supaya pelajar-pelajar dapat memperolehi pengajaran dan pembelajaran secara licin, optimum dan selamat. Penyediaan papan tulis, kapur dan pemadam papan tulis adalah contoh prasarana yanh disediakan oleh sekolah. Selain itu sekolah juga perlu menyelenggara kemudahan yang telah disediakan seperti perpustakaan dan bilik media agar sentiasa berkeadaan baik. Pentadbiran yang sempurna dapat mengawal keadaan sekolah agar lebih terkawal dan berdisiplin

Budaya yang berpusatkan nilai-nilai murni perlu diterapkan di sekolah menerusi kurikulum formal dan tidak formal. Budaya yang mengandungi idea, norma dan pemikiran yang postif dan mengembeling modal insan secara bersepadu. Pembudayan Budaya Membaca Al-Quran, Budaya Berbudi Bahasa dapat dicapai melalui pelaksanaan aktivti yang berseuaian. Sebagai contoh Budaya Membaca al-Quran dapat dihidupkan melalui aktiviti seperti Majlis Tadarus al-Quran.

Iklim yang mewarnai alam persekolahan sangat memberi kesan yang besar dalam pembentukan individu seseorang. Pengaruh sekolah selepas keluarga dalam pembentukan personality pelajar adalah bersangkut paut dengan kecemerlangan akademik pelajar. Melalui iklim sekolah yang teratur, terkawal, tenang dan tertib yang memungkinkan suasan yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan dan positif. Hubungan sosial yang baik antara guru, pelajar, warga sekolah dan masyarakt setempat akan membentuk suatu merupakan menifestasi kepada dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Biasanya organisasi sekolah yang sihat atau sakit akan mewujudkan iklim persekolahan yang kondusif untuk aktiviti-aktiviti pendidikan. Indeks organisasi sekolah yang sihat boleh dikenal pasti seperti berikut:

· Mempunyai pusat sasaran untuk pencapaian matlamat sekolah

· Kesusaian menyebar kebudayaan dan ilmu pengetahuan

· Berkongsi kuasa autoriti dalam pengurusan sekolah

· Keberkesanan dalam pengurusan sumber

· Mempunyai semangat perpaduan di kalangan anggota sekolah

· Anggota-anggota sekolah merasa kepuasan serta bercita-cita mengejar kecemerlangan.

· Anggota-anggota sekolah mempunyai kesedaran terhadap keperluan reformasi pendidikan untuk kemajuan sekolah.

· Mempunyai suatu sistem kawalan automatik yang dapat menangani gangguan dari luar.

· Mempunyai daya penyesuaian yang berupaya menghadapi dan menangani konflik di antara aspirasi sekolah dengan organisasi luar.

· Mempunyai organisasi yang baik serta sistem pengurusan yang rapi untuk menangani konflik dalaman.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak akan dapat dilaksanakan jika tidak ada pihak yang ingin mainkan peranan masing-masing. Di sekolah setiap individu memainkan peranan masing-masing untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Antara pihak yang berkaitan ialah:

· Guru Besar

· Guru Penolong Kanan

· Ketua Panitia

· Guru Bilik Darjah

Ø Peranan Guru Besar

Edmond (1977), Sweeney (1982), Hussein Mahmood (1993) dan Leithwood dan Jantzi (1997) menekankan bahawa Guru Besar perlu mempunyai sesitiviti terhadap bakat dan kemahiran guru-guru, berkongsi matlamat dan membuat keputusan, memberi latihan pembangunan profesionalisme kepada guru-guru dan interaksi yang tinggi terhadap guru-guru. Maksudnya di sini, Guru Besar berperanan penting dalam meningkatkan tahap profesionalisme seseorang guru untuk mencapai objektif sekolah yang dengan lebih efektif dan sistematik.

Guru Besar bukan sahaja merancang segala aktiviti dan program di sekolah, namun perlu turut sama terlibat dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang dirancang di sekolah. Guru Besar yang cemerlang akan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada guru-guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik dan menarik minat murid-murid untuk belajar. Beliau bukan sahaja pandai memberi arahan, namun perlu turut serta terlibat dengan program-program serta perlaksanaan yang dijalankan di sekolah. Penglibatan secara langsung Guru Besar dengan organisasi sekolah amat penting dalam mewujudkan suasana dan iklim sekolah yang harmonis dan damai selaras dengan kehendak FPK.



Selain itu, Guru Besar juga dijadikan tempat rujukan organisasi sekolah. Jika terdapat kakitangan sekolah yang menghadapi masalah, guru besar perlu peka dan prihatin terhadap mereka. Seorang pemimpin yang baik akan dapat memahami kesulitan yang dialami oleh kakitangannya. Beliau perlu meringankan tangan dan bersedia untuk menolong kakitangannya yang mempunyai masalah tersebut. Sifat empati yang tinggi perlu ada di dalam diri seorang pemimpin agar sentiasa dihormati dan disenangi oleh semua pihak sekolah. Jika kita berbuat baik kepada orang lain, orang lain akan senang memberikan pertolongan kepada kita kelak dan begitulah sebaliknya.

Pemimpin yang tidak mengendahkan keadaan staf-stafnya akan menyebabkan banyak berlaku implikasi negetif. Contohnya, guru tidak akan memberikan kerjasama yang baik kepada Guru Besar jika Guru Besar meminta pertolongan dari guru tersebut. Oleh itu, Guru Besar yang baik dan dihormati oleh semua warga sekolah termasuk murid-murid perlulah mempunyai keterampilan yang baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menguruskan pentadbiran sekolah

Ø · Guru Penolong Kanan

Guru Penolong Kanan (GPK)juga memainkan peranan yang penting di sesebuah sekolah. Terdapat 3 jenis guru Penolong Kanan di setiap sekolah iaitu GPK 1, GPK Kokurikulum dan GPK HEM. Tugas-tugas GPK ini adalah untuk melicinkan segala pengurusan dan pentadbiran di sekolah. Mereka bertanggungjawab kepada Guru Besar dalam hal pentadbiran, kurikulum, pengurusan guru dan kakitangan bukan guru.

Guru Penolong Kanan 1 (GPK 1) merupakan orang yang paling hampir dengan guru besar. Beliau akan menggantikan guru besar ketika ketiadaannya. Segala urusan berkaitan dengan jadual waktu dan guru terletak di bawah tugas GPK 1. Apabila terdapat guru yang tidak hadir maklumat perlu disampaikan kepada GPK 1 dan beliau akan mencari guru ganti mengisi kekosongan kelas. GPK 1 merupakan orang kedua selepas guru besar dan perlu sama-sama memastikan kelancaran pentadbiran sekolah. Segala masalah berkaitan dengan guru, GPK 1 akan menyelesaikannya. Ini kerana semua masalah guru terletak di bawah tanggungjawab GPK 1. jadual waktu yang disediakan hendaklah selaras dan tiada berlaku pertindihan waktu antara guru. Struktur organisasi sekolah juga berada di bawah kawalan GPK 1 ini. Kesimpulannya,GPK 1 ini memainkan peranan penting dalam membantu guru besar untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebanfsaan dengan jayanya.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK Ko) merupakan orang yang bertanggungjawab dalam bidang kokurikulum di sesebuah sekolah. Kurikulum merupakan satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai dan norma, unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahlinya. GPK Ko mempunyai dua bidang iaitu kurikulum dan kokurikulum. Dari segi kurikulum beliau bertanggungjawab dalam pembelajaran yang berlaku di sekolah. Beliau menyelaraskan sistem pembelajaran supaya menepati kehendak dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dari segi kokurikulum pula beliau melaksanakan sukan dan persatuan di dalam sekolah. Ini bertepatan dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pelajar di sekolah bukan sahaja pandai dari segi pelajaran tetapi pandai dari segi sukan dan persatuan. Guru Penolong Kanan Ko yang bertanggungjawab untuk melaksanakan hasrat Falsafah ini.



Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) merupakan guru yang bertanggungjawab dalam hal kebajikan dan masalah palajar di sekolah. Jika terdapat pelajar yang sakit, PK HEM yang bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada ibu bapa pelajar tersebut. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga berada di bawah kawalan guru ini. Pelajar yang kurang bernasib baik akan diberikan bantuan RMT dan guru inilah yang bertanggungjawab mengenalpasti pelajar yang kurang bernasib baik itu. Selain itu, PK HEM juga bertanggungjawab mengenalpasti murid-murid yang cemerlang namun dalam golongan miskin untuk diberi biasiswa. Pemberian biasiswa kecil kerajaan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban keluarga murid tersebut. Murid-murid yang mempunyai masalah Masalah disiplin juga terletak di bawah kawalan guru ini. Jika berlaku pergaduhan pelajar tersebut akan dipanggil oleh guru ini untuk diberikan sedikit teguran dan ibu bapa akan dipanggil bagi sama-sama menyelesaikan masalah. Guru ini bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin di sekolah dan mengambil berat kebajikan pelajar supaya pelajar yang keluar dari sekolah nanti akan seimbang dirinya.



Kesimpulannya, Guru Penolong Kanan ini adalah pendokong kepada kelancaran perlaksanaan pengurusan dan pentadbiran sekolah. GPK bukan sahaja untuk melicinkan pentadbiran sekolah tetapi turut merupakan penasihat kepada Guru Besar. Guru Besar dapat meminta pertolongan dan pandangan dari GPK agar segala pengurusan yang dijalankan itu selaras dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan warganegara yang menyeluruh dan seimbang dari pelbagai aspek

Ø Ketua Panitia

Guru yang dilantik menjadi ketua panitia kebiasaannya dipilih berdasarkan kecemerlangannya dalam mata pelajaran tertentu. Setiap mata pelajaran mempunyai seorang ketua panitia masing-masing. Sebagai contoh panitia Bahasa Melayu akan diketuai oleh seorang ketua iaitu ketua panitia bahasa Melayu. Namun terdapat mata pelajaran yang tidak mempunyai ketua panitia iaitu mata pelajaran prasekolah, J-Qaf dan pendidikan khas.

Ketua panitia bertanggungjawab untuk memastikan kecemerlangan panitia yang diketuainya. Menyediakan rancangan mengajar bagi panitia dan setiap guru akan merujuk kepada rancangan mengajar tersebut. Rancangan mengajar yang disediakan hendaklah selaras di semua sekolah demi untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ketua panitia merancang untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam bidang yang diuruskannya. Maksudnya jika panitia matematik maka ketua panitia matematik merancang satu kem untuk meningkatkan kecemerlangan dalam matematik. Ketua panitia ini memainkan peranan yang besar untuk memajukan subjek-subjek di sekolah bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.



Jika seseorang guru mempunyai masalah berhubung dengan kurikulum dan pengajaran, mereka perlu berjumpa dengan ketua panitia masing -masing sebelum dirujuk kepada Guru Besar atau Guru-guru Penolong Kanan sekolah. Jadi ketua panitia hendaklah sentiasa peka terhadap keperluan guru-guru di bawah naungannya. Jadi, peranan ketua panitia ini amat penting dalam memperbaiki kelemahan pengajaran selain dapat meningkatkan prestasi dan mutu semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan hasrat FPK yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan serta berkeupayaan memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

Ø Guru Bilik Darjah

Guru bilik darjah memainkan peranan yang amat penting dalam keseimbangan murid-murid di sekolah. Tugas guru bukan sahaja untuk mengajar semata-mata namun mereka telah diberikan tugas untuk menjaga dan memegang kelas yang terdapat di sekolah. Guru kelas bertindak menggantikan bapa atau ibu ketika murid-murid di sekolah. Setiap masalah pelajar guru harus mengetahui supaya tidak mengganggu sesi pembelajaran. Kehadiran pelajar guru harus mengambil berat dan menanyakan sebab jika tidak hadir ke sekolah. Setiap masalah yang berlaku guru kelas harus menyelesaikannya supaya pelajar minat untuk hadir di sekolah. Guru bilik darjah juga bertanggungjawab untuk menghias kelas masing-masing kerana terdapat program keceriaan yang dijalankan di sekolah. Penyusunan organisasi di dalam kelas dan jadual bertugas juga dilakukan oleh guru bilik darjah. Bilik darjah yang ceria dan menarik dapat menarik minat murid-murid untuk datang ke sekolah.



Guru bilik darjah juga perlu membimbing murid-murid mereka cara belajar yang baik. Sebagai contoh, guru perlu memberi sokongan dan dorongan yang tinggi kepada murid kelas mereka supaya rajin belajar agar mendapat keputusan yang cemerlang. Guru bilik darjah yang baik bertanggungjawab dalam mendisiplinkan murid-murid di dalam kelasnya. Nasihat yang diberikan haruslah dapat membina keyakinan mereka untuk belajar dan mengamalkan nilai-nilai murni. Kata-kata nasihat yang baik dapat membentuk peribadi dan sahsiah murid-murid agar sejajar dengan nilai dan norma dalam masyarakat pada hari ini.

Tuntasnya, guru bilik darjah ini merupakan tempat bergantung murid-murid ketika di sekolah. Hal ini kerana, guru bilik darjahlah merupakan orang yang paling rapat dengan murid-murid .Oleh itu, peranan guru bilk darjah amat penting dalam melahirkan murid-murid yang seimbang dan berpekerti mulia.

No comments:

Post a Comment

jom klik...=)