klik klik

Monday, August 1, 2011

Konsep Akhlak dan Moral

Akhlak merupakan kata jama’ bagi perkataan al-khulq yang berasal dari perkataan Arab, khalaqa yang membentuk perkataan al-khulq dan al-khalqu. Al-khulq dari bahasa dapat disimpulkan sebagai sifat semulajadi, tabiat, maruah dan agama yang memperlihatkan gambaran batin seseorang. Al-khalqu pula merupakan sifat lahiriah atau bentuk luaran seseorang sama ada dari segi fizikal sama ada segala sikap, perlakuan dan tindakan yang ditonjolkan dan dapat dilihat oleh mata kasar. Melalui definsi ini , akhlak dilihat mempunyai tiga aspek utama iaitu sifat semulajadi yang dipunyai oleh individu secara fitrah, sifat yang dimiliki melalui latihan sehingga diterima sebagai tabiat dan ketiga akhlak mempunyai dimensi batin dan zahir.

Akhlak menurut istilah diertikan sebagai budi pekerti, kelakuan, tabiat serta segala gerak laku perbuatan yang telah menjadi adat kebiasaan atau keadaan kejiwaan yang darinya akan terbit tingkah laku dan perbuatan manusia. Ibnu Miskawyh mendefinisikan akhlak sebagai keadaan jiwa yang menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa pertimbangan fikiran terlebih dahulu.

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya yang masyhur iaitu Ihya Ulumuddin telah mengungkapkan pandangan etikanya yang tersendiri yang antara lainnya adalah seperti berikut :

1) Akhlak bererti mengubah jiwa daripada sifat yang buruk kepada sifat-sifat yang baik sebagaimana perilaku ulama, syuhada, shiddiqin dan nabi-nabi.

2) Akhlak yang baik dapat mengadakan pertimbangan di antara kekuatan dalam diri manusia iaitu kekuatan berfikir, kekuatan hawa nafsu dan kekuatan ammarah. Akhlak yang baik acap kali menentang apa-apa yang digemari oleh kebanyakkan manusia.

3) Akhlak adalah kebiasaan jiwa yang tetap dan terdapat di dalam diri manusia. Ia mudah dan tidak perlu berfikir dan melahirkan tingkah laku manusia. Apabila lahir tingkah laku yang insaf dan terpuji maka dinamakan sebagai akhlak yang baik dan apabila tingkah laku itu keji maka dinamakan sebagai akhlak yang buruk.

4) Tingkah laku itu adalah lukisan batinnya

5) Al-Ghazali juga mengemukakan bahawa keperibadian manusia pada dasarnya dapat menerima suatu pembentukan tetapi lebih cenderung kepada kebajikan dibandingkan dengan kejahitan. Jika seseorang itu membiasakan diri dengan kejahatan, maka jahatlah kelakuannya dan demikianlah juga sebaliknya.

6) Al-Ghazali juga mengutarakan pendapat bahawa akhlak itu dapat dilatih, dikuasai dan diubah ke arah akhlak yang mulia dan terpuji melalui latihan yang tertentu.

Moral pula berasal daripada perkataan Latin iaitu mores ditakrifkan sebagai tatalaku, adat dan cara hidup iaitu suatu cara perlakuan yang sudah menjadi adat kebiasaan yang sudah mendasari sesuatu kumpulan manusia kerana sudah diterima dan dipersetujui bersama kumpulan itu. Perkataan mores turut menjadi kosa kata bahasa Melayu yang mempunyai maksud yang sama. Perkataan moral itu sendiri bermaksud ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan yang berasaskan ukuran baik dan buruk sesuatu akhlak serta sering kali dikaitkan dengan perkara yang betul dan adil. Moral juga boleh dikatakan sebagai satu cara untuk melihat dan mempersoalkan pelbagai isu berhubung dengan perbuatan dan tingkah laku.

Dalam hal ini moral sering disama ertikan dengan etika sebagaimana pendapat yang dikemukakan oleh Peter Baelz, katanya :

Moral dan etika selalunya mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun, adalah berfaedah jika dapat dibezakan antara keduanya, sekalipun kita selalu tidak berjaya membezakannya”

Huraian konsep moral kurang mantap sekiranya saya tidak mengupas konsep umum tentang etika. Perkataan etika berasal daripada bahasa Yunani kuno iaiti ethos dalam bentuk tunggal mempunyai banyak erti, antaranya tempat tinggal yang biasa, padang rumput, kandang, kebiasaan, adat, akhlak, watak, perasaan, sikap dan cara berfikir. Dalam bentuk jamak taetha bererti adat kebiasaan. Dan erti terakhir inilah menjadi latar belakang bagi terbentuknya istilah etika yang digunakan oleh ahli falsafah Yunani besar Aristotle ( 384-322 SM) sudah digunakan untuk menunjukkan falsafah moral. Jadi kita membataskan diri pada asal-usul kata ini, maka etika bererti ilmu tentang apa yang dapat dilakukan atau ilmu tentang adat kebiasaan. Etika jua didefinisikan sebagai ilmu berkenaan prinsip-prinsip akhlak dan moral atau prinsip moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Selain itu etika juga diertikan sebagai peraturan yang menjadi panduan hidup manusia dalam sesebuah kelompok yang kecil seperti etika kedoktoran bagi mengawal hubungan antara doctor dengan pesakit, etika perniagaan iaitu piawai bagi seseorang itu membezakan antara baik dengan buruk, antara benar dengan salah antara yang terpuji dan terkeji bagi semua kegiatan dan matlamat perniagaannya. Walaubagaimanapun terdapat pengkaji dan pemikir yang menggunakan istilah kod akhlak bagi menggambarkan kod etika ini. sebagai contoh Wan Mohd Nor Wan Daud menyatakan bahawa antara usaha untuk membanteras jenayah kolar putih ialah penggubalan dan pelaksanaan kod akhlak bagi bidang-bidang tertentu.

No comments:

Post a Comment

jom klik...=)